WOMEN IN CYBER (WIC) 2024 MEMPERKASA WANITA DALAM SEKTOR KESELAMATAN SIBER NEGARA
MAKLUMAT KEPADA MEDIA
AGENSI KESELAMATAN SIBER NEGARA
MAJLIS KESELAMATAN NEGARA
JABATAN PERDANA MENTERI
WOMEN IN CYBER (WIC) 2024 MEMPERKASA WANITA DALAM SEKTOR KESELAMATAN SIBER NEGARA
25 April 2024
Agensi Keselamatan Siber Negara, Majlis Keselamatan Negara (NACSA, MKN) menganjurkan program Women in Cyber (WiC) 2024, yang dikelolakan bersama Alpine Integrated Solution (AIS). WiC 2024 adalah program perdana yang menghimpunkan wanita berkerjaya dan platform perkongsian pengetahuan serta kemahiran dalam bidang keselamatan siber.
Program ini diadakan di Mesmera Ballroom, The Everly Putrajaya Hotel di Putrajaya. WiC 2024 disertai oleh peserta dari kalangan pemain industri, pegawai-pegawai kerajaan, ahli akademik dan komuniti keselamatan siber untuk bertukar pandangan, idea dan meraikan para wanita yang menceburi bidang ini.
Kepentingan WiC 2024
Dunia masa kini berdepan dengan peningkatan ancaman dan serangan siber di peringkat global yang telah menyebabkan anggaran kerugian sejumlah US$8.44 trilion pada tahun 2022. Dalam hal ini, penglibatan semua pihak dalam menangani masalah ini adalah amat penting. Ini termasuklah meningkatkan usaha untuk merapatkan jurang jantina dan menggalakkan lebih ramai wanita untuk menyertai bidang keselamatan siber.
Buat masa ini, 25% wanita terlibat dengan kerjaya berkaitan keselamatan siber di peringkat global dan dianggarkan meningkat kepada 30% pada tahun 2025 serta 35% pada tahun 2031. Walaupun terdapat peningkatan, penyertaan wanita dalam bidang ini masih di tahap yang agak rendah. Dalam ucapan alu-aluannya, YM Raja Dato’ Nushirwan bin Zainal Abidin, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) menyifatkan keadaan ini seperti ke melangkah medan peperangan dengan hanya separuh kekuatan.
Oleh itu, tema WiC 2024 “Memecah Halangan, Memacu Kecemerlangan” bukan sahaja signifikan malah amat penting sebagai naratif utama program ini. Dengan memupuk persekitaran positif untuk wanita yang berjaya dalam profesion masing-masing berkongsi pengalaman, WiC 2024 memberi ruang untuk mereka memperkasa dan memberi inspirasi antara satu sama lain, secara tidak langsung memangkin kemajuan kerjaya dan merapatkan jurang jantina dalam sektor yang dinamik ini.
YB Datuk Seri Dr. Noraini binti Ahmad, Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat yang menyampaikan ucaptama bertajuk Kepimpinan dalam Dunia Digital mewakili Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, menerangkan sumbangan penting wanita dalam bidang keselamatan siber serta evolusi dalam lanskap kepimpinan. YB Datuk Seri Dr. Noraini menyatakan bahawa kepimpinan moden menjangkau batasan tradisional dan merangkumi nilai kualiti seperti visi, empati dan adaptasi, yang sangat penting dalam mendepani era digital yang kompleks. Beliau menjelaskan peranan penting pemimpin dalam memangkin perubahan positif masyarakat, mencipta legasi dan meningkatkan permerkasaan.
YB Datuk Seri Dr. Noraini turut menegaskan sumbangan wanita yang tidak ternilai termasuklah kemahiran mereka dalam mewujudkan persekitaran yang kolaboratif melalui komunikasi berkesan, kemahiran interpersonal, dan komitmen untuk menggunakan teknologi bagi kepentingan masyarakat serta merapatkan jurang digital. Beliau tidak menyangkal kewujudan norma berat sebelah (biases) terhadap wanita dalam menjawat jawatan tinggi. Sehubungan itu, YB Datuk Seri Dr. Noraini menggalakkan organisasi untuk menghapus norma berat sebelah ini bagi meraikan kepelbagaian, meningkatkan peluang, mewujudkan persekitaran yang terbuka dengan pelbagai perspektif dan membolehkan pemacuan inovasi serta kejayaan dalam era digital. Beliau mengakhiri ucapan dengan menyatakan komitmen Kementerian untuk menggalakkan kepimpinan yang lebih inklusif dan memperkasakan wanita untuk terus maju dalam landskap digital yang dinamik.
Sorotan WiC 2024
Dengan kejayaan penganjuran pertama Women in Cyber Luncheon pada tahun 2023 dan beberapa acara utama industri keselamatan seperti LIMA 2023 dan CYDES, AIS selaku rakan strategik NACSA yakin dengan penganjuran WiC 2024.
Persidangan WiC 2024 telah menghimpun sekurang-kurangnya 400 pemegang taruh keselamatan siber, dan juga tetamu-tetamu kenamaan antaranya Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin, Ketua Eksekutif NACSA, dan Tan Sri Dato’ Seri Mohd Khairul Adib Abd Rahman, Pengerusi bagi AIS Group.
Sesi Panel pertama dengan topik “Memecah Halangan, Membentuk Masa Depan: Bimbingan dan Pemerkasaan Wanita dalam Kerjaya” tajaan Amazon Web Services menghuraikan cabaran imperatif dalam usaha membimbing dan memperkasakan wanita dalam bidang keselamatan siber.
Seterusnya Puan Lata Bavisi, Presiden EC-Council University, menyampaikan ucapan bertajuk “Galakan Penyertaan Wanita: Laluan ke Arah Inovasi” yang memberi sorotan kepada peri pentingnya kepelbagaian jantina dalam memacu perspektif baharu dan penyelesaian berinovatif dalam industri keselamatan siber.
Sesi panel kedua tajaan Microsoft Malaysia membicarakan peranan dan impak Kecerdasan Buatan (AI) dalam landskap keselamatan siber melalui perbincangan dengan topik “Keselamatan Siber dan Kecerdasan Buatan: Peluang dan Ancaman. Perbincangan panel jemputan ini meliputi peranan serampang dua mata AI sebagai potensi ancaman dan pemangkin dalam usaha memajukan bidang keselamatan siber.
Antara komponen lain dalam program WiC 2024 adalah bengkel keselamatan siber yang disampaikan oleh Dr. Meisam Eslahi, Pengarah Keselamatan Siber di EC-Council Global Services, organisasi terkemuka bagi pensijilan, pendidikan, latihan dan perkhidmatan keselamatan siber.
Sepanjang acara berlangsung, organisasi seperti NACSA, Women in Tech, MyDigital ID Sdn Bhd, EC-Council, CrowdStrike, Asia Pacific University (APU), Universiti Teknologi MARA (UiTM), Microsoft, Persatuan Profesional Keselamatan Maklumat (AiSP), dan Detekcam mempamerkan perkhidmatan dan produk mereka yang menyumbang kepada perkembangan bidang keselamatan siber.
Ketua Eksekutif NACSA, Ir. Dr. Megat Zuhairy Megat Tajuddin berkata “Women in Cyber 2024 akan menguatkan lagi asas bagi memperkasakan wanita untuk memainkan peranan lebih penting dalam mendukung keselamatan siber negara. WiC juga merupakan program pertama dalam siri rangkaian acara CYDES 2024 dan seterusnya acara utama CYDES 2025, program premier keselamatan dan pertahanan siber serta teknologi baharu. Saya yakin kejayaan WiC 2024 ini adalah petanda positif dan membuka laluan bagi kejayaan penganjuran CYDES 2025 kelak.”
AGENSI KESELAMATAN SIBER NEGARA
MAJLIS KESELAMATAN NEGARA,JABATAN PERDANA MENTERI
Level LG & G, West Wing, Perdana Putra Building, Putrajaya
Tentang NACSA:
Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) ditubuhkan pada Februari 2017 sebagai agensi utama dalam pengurusan keselamatan siber negara dengan objektif untuk mengawal selia dan meneguhkan ketahanan Malaysia dalam menghadapi ancaman siber melalui penyelarasan dan penggabungan sumber serta pakar keselamatan siber negara.
Tentang CYDES:
CYDES, program premier keselamatan dan pertahanan siber serta teknologi baharu, adalah pelengkap kepada landskap keselamatan siber negara. Sebagai platform utama acara keselamatan siber di Malaysia, CYDES menonjolkan kepakaran, penyelesaian, dan teknologi terbaharu untuk menangani ancaman siber terkini dan akan datang. Berpaksikan kepada Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS), CYDES menawarkan penyelesaian dan teknologi khusus untuk mendepani cabaran keselamatan dan pertahanan siber yang dihadapi sektor awam dan swasta, dengan fokus untuk melindungi sektor-sektor Infrastruktur Informasi Kritikal Negara (CNII).
Rangkaian siri acara CYDES berlangsung sepanjang tahun 2024 dari bulan April hingga Oktober akan menawarkan pelbagai peluang untuk semua pemegang taruh. Rangkaian acara interim ini berfungsi sebagai penanda aras untuk acara CYDES ketiga yang bakal dianjurkan pada tahun 2025. Siri acara CYDES adalah platform strategik untuk dialog dan kerjasama komuniti keselamatan siber, serta perkongsian maklumat antara pemegang taruh dari pelbagai industri di peringkat domestik dan serantau.