TIME InternetTIME dotCom Bhd

KUALA LUMPUR: TIME dotCom Bhd (TIME), LE Global Services Sdn Bhd (LGMS) dan Tecforte Sdn Bhd (Tecforte) bekerjasama membangunkan platform serta perkhidmatan pengurusan keselamatan siber komprehensif untuk sektor infrastruktur yang kritikal.

Ia menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani ketiga-tiga pihak pada Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber (CYDES) 2021 yang julung kali diadakan baru-baru ini.

Majlis MoU itu disaksikan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Timbalan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Rodzi Md Saad.

MoU itu bertujuan membantu organisasi daripada semua saiz dengan lebih baik dalam meningkatkan kesedaran pertahanan dan keselamatan siber, sejajar dengan Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) yang dibangunkan oleh Agensi Keselamatan Siber Nasional (NACSA).

Ia adalah kerjasama yang menyasarkan untuk merangsang Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia, membawa masuk bakat teknologi bernilai tinggi tempatan, meningkatkan pewujudan pekerjaan dan pengekalan bakat.

Platform dan perkhidmatan keselamatan siber hasil daripada kerjasama ini akan memberikan penyelesaian yang menawarkan akses mudah, menyingkirkan faktor yang menjejaskan kos sambil menyediakan kepatuhan yang tersedia kepada perniagaan.

Naib Presiden Eksekutif Perusahaan Perniagaan TIME, Kit Au, berkata syarikat itu percaya MoU dengan LGMS dan Tecforte akan menjadi permulaan masa depan yang menarik dalam sektor teknologi, terutama dalam bidang keselamatan siber.

“TIME, LGMS dan Tecforte bekerjasama dengan jayanya pada masa lalu, dan kami yakin yang platform serta perkhidmatan yang dibangunkan bersama dengan rangkaian penawaran perniagaan-ke-perniagaan (B2B) berskala besar TIME akan memberikan penyelesaian yang bermakna untuk pasaran.

“Tambahan lagi, ketika kerjasama ini berkembang dan matang, terdapat potensi untuk mengeksport perkhidmatan keselamatan siber ini ke rantau ini, berdasarkan kehadiran rangkaian serantau TIME,” katanya dalam satu kenyataan.