PUTRAJAYA – Malaysia sedang memperkukuh pembangunan Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2026–2030 yang akan dibentangkan di Sidang Kemuncak ASEAN akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia merupakan satu pelan strategik untuk daya tahan kolektif di rantau yang semakin digital.

Katanya, sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun ini Malaysia telah meletakkan keselamatan siber sebagai teras utama agenda serantau.

“Untuk menangani isu ini, saya menyeru agar Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2026–2030 memberi tumpuan khusus kepada kerjasama masa nyata antara negara-negara anggota khususnya dalam respons insiden, forensik digital, pertukaran data yang selamat dan penyelarasan dasar.

“Mekanisme ini mesti menjunjung prinsip kerahsiaan, kedaulatan dan kepercayaan bersama yang penting dalam menangani ancaman siber yang sensitif dan rentas sempadan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Pameran dan Persidangan Pertahanan & Keselamatan Siber (CYDES) 2025, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin.

Turut diadakan pada majlis tersebut pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara NACSA dan enam instituti pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasta bagi memperkukuh kerjasama penyelidikan serta pembangunan bakat dalam bidang keselamatan siber.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut menegaskan, Malaysia serius dalam isu keselamatan siber yang mana negara turut melabur serta menggubal undang-undang.

“Dan yang paling penting, kita bekerjasama merentasi agensi, industri dan sempadan,” ujarnya.

Terdahulu, dalam ucapan perasmiannya, Ahmad Zahid mendedahkan, Pusat Penyelarasan dan Arahan Siber Negara (NC4) telah merekodkan sebanyak 4,626 insiden keselamatan siber pada tahun 2024 iaitu peningkatan sebanyak 43 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Jelas beliau, dalam separuh pertama tahun ini sahaja, sebanyak 294 insiden telah dilaporkan, termasuk 133 insiden melibatkan entiti Infrastruktur Maklumat Kritikal Negara (NCII).

“Angka ini menekankan betapa pentingnya untuk memperkukuh tahap kebersihan siber dan kesedaran digital negara.

“Apabila ancaman menjadi lebih canggih, kesiapsiagaan dan tingkah laku digital yang bertanggungjawab bukan lagi pilihan, ia adalah barisan pertahanan pertama kita,” tambahnya. – MalaysiaGazette