PUTRAJAYA, 1 Julai - Malaysia kini giat memperkukuh pembangunan Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2026–2030, yang dijadual dibentangkan dalam Sidang Kemuncak ASEAN akan datang.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata strategi itu merupakan satu pelan tindakan strategik bagi memperkukuh daya tahan kolektif serantau dalam menghadapi cabaran keselamatan siber di era digital yang semakin mencabar.

Beliau berkata, sebagai pengerusi ASEAN tahun ini negara telah meletakkan keselamatan siber sebagai teras utama agenda serantau.

"Untuk menangani isu ini, saya menyeru agar Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2026–2030 memberi tumpuan khusus kepada kerjasama masa nyata antara negara-negara anggota khususnya dalam maklum balas insiden, forensik digital, pertukaran data yang selamat dan penyelarasan dasar.

"Mekanisme ini mesti menjunjung prinsip kerahsiaan, kedaulatan dan kepercayaan bersama yang penting dalam menangani ancaman siber yang sensitif dan rentas sempadan," beliau berucap ketika merasmikan Pameran dan Persidangan Pertahanan & Keselamatan Siber (CYDES) 2025, di sini.

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid dalam ucapan perasmiannya turut menegaskan, Malaysia serius dalam isu keselamatan siber yang mana negara turut melabur serta menggubal undang-undang.