keselamatan siberKetua Pengarah Keselamatan Negara, Datuk Raja Nushirwan Zainal Abidin hadir pada 'The Malaysia Cyber Security Ecosystem Symposium 2023' di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Author: Ahmad Syabil Sultan Noordin Ahmad

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) — Malaysia telah melaksanakan langkah-langkah signifikan bagi memperkukuh kedudukan keselamatan sibernya dan penubuhan Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) pada 2017 di bawah Majlis Keselamatan Negara membuktikan komitmen negara untuk melindungi infrastruktur kritikal serta membanteras ancaman siber.

Ketua Pengarah Keselamatan Negara Raja Datuk Nushirwan Zainal Abidin berkata NACSA berfungsi sebagai badan penyelaras pusat bagi usaha-usaha keselamatan siber, memudah cara perkongsian maklumat, memberi bimbingan dan membangunkan polisi untuk meningkatkan ketahanan siber negara.

Beliau berkata pendekatan holistik yang melangkau usaha kerajaan diperlukan bagi membina ketahanan siber dan ia memerlukan satu pendekatan “quadruple helix” atau melibatkan pembabitan aktif empat pihak iaitu kerajaan, pihak berkepentingan industri, ahli akademik dan masyarakat dalam satu usaha sama untuk merangsang keupayaan keselamatan siber.

“Ancaman kepada keselamatan siber terdiri daripada pelbagai bentuk. Terdapat (salah satunya) ancaman dramatik – konflik geopolitik dan tekanan boleh melarat memasuki dimensi kelima, melakukan serangan siber bertujuan melumpuhkan infrastruktur kritikal sesuatu negara,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di Simposium Ekosistem Keselamatan Siber Malaysia 2023 di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Simposium itu adalah sempena Pameran dan Persidangan Pertahanan dan Keselamatan Siber (CYDES) 2023 yang mempamerkan teknologi dan inovasi keselamatan siber terkini meliputi produk dan solusi pakar daripada syarikat tempatan dan luar negara.

Raja Nushirwan berkata pada masa sama, penjenayah siber akan melakukan kegiatan jahat menyasarkan kepada ketidakstabilan institusi dan ancaman juga boleh berpunca daripada kecuaian individu semasa melayari ruang siber.

Katanya elemen penting dalam usaha keselamatan siber ialah kesedaran iaitu mempromosikan suatu budaya yang peka mengenai keselamatan siber merentasi semua sektor termasuk masyarakat dan melengkapkan mereka dengan pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk melayari landskap digital secara selamat.

“Dengan mematuhi norma yang diterima di peringkat antarabangsa dan melibatkan diri dalam diplomasi siber, kita boleh membentuk landskap keselamatan siber global dan menyumbang kepada pembangunan rangka kerja keselamatan siber yang bertanggungjawab dan secara kerjasama,” katanya.

CYDES 2023, yang bermula hari ini hingga 13 Julai bertemakan “Building Cyber Resilience: Safeguarding The Digital Future” (membina ketahanan siber: menjaga masa depan digital), melibatkan lebih 200 pempamer daripada 15 negara dan 50 individu terkemuka.