kabinet bincang

Author: Maizatul Jamny Muhammad Rosli

KUALA LUMPUR, 10 Julai (Bernama) — Keputusan-keputusan dasar mengenai penyelarasan ekosistem keselamatan siber negara akan dibincangkan dan dimuktamadkan dalam Mesyuarat Kabinet pada 19 Julai ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata langkah itu menunjukkan kesungguhan dan komitmen tegas kerajaan dalam menangani cabaran keselamatan siber.

“Saya jelaskan dengan tegas di sini bahawa Kerajaan Perpaduan tidak akan berkompromi dalam isu berkaitan keselamatan ruang siber kita, dan tidak akan berlengah dalam hal ini.

“Apa sahaja ‘kekurangan’ kita yang berkaitan dengan aspek masa, kita akan tebus ia dengan kerja keras,” kata perdana menteri pada majlis perasmian Pameran dan Persidangan Pertahanan & Keselamatan Siber (CYDES) 2023, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang hadir mewakili Perdana Menteri merasmikan majlis berkenaan.

Keputusan untuk membawa isu itu ke Mesyuarat Kabinet dibuat selepas Anwar mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan Siber Kebangsaan pertama bulan lepas, yang membincangkan keputusan- keputusan penting dalam mengukuhkan keselamatan siber di Malaysia.

Anwar berkata mesyuarat sebulat suara mengesahkan Agensi Keselamatan Siber Kebangsaan (NACSA) kekal sebagai agensi pusat keselamatan siber yang melaporkan terus kepada Perdana Menteri, dengan pelbagai langkah untuk meningkatkan keselamatan siber akan disepadukan di bawah payung agensi itu.

Beliau berkata ini akan memastikan penyelarasan pusat dan membolehkan kerajaan mewujudkan strategi yang padu dan komprehensif dalam menentang ancaman siber, memperkemas usaha dan memaksimumkan keberkesanan kolektif.

Perdana Menteri berkata mesyuarat itu juga bersetuju bahawa penggubalan segera Rang Undang-undang Keselamatan Siber adalah perlu untuk memastikan rangka kerja undang-undang yang teguh dengan tadbir urus yang baik untuk menangani dengan berkesan ancaman siber yang berkembang.

“Rang Undang-undang Keselamatan Siber akan memberikan NACSA kuasa undang-undang yang jelas untuk mengawal selia dan menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan keselamatan siber, sekali gus meningkatkan keberkesanan fungsi mereka.

“CyberSecurity Malaysia, sebuah syarikat yang terhad oleh jaminan dan yang turut memainkan peranan penting dalam mengukuhkan ekosistem keselamatan siber di Malaysia, akan diletakkan di bawah NACSA untuk mengelakkan pertindihan dan kekeliruan,” tambahnya.

Sementara itu, Anwar berkata pemeliharaan keselamatan ekosistem siber hanya boleh dicapai menerusi tadbir urus yang baik dan strategi yang berkesan dengan hasil yang boleh diukur, justeru kerajaan mesti memimpin melalui teladan dalam mewujudkan ekosistem siber yang selamat dan berdaya tahan.

Bagi mencapai matlamat ini, beliau berkata sektor kerajaan mesti mengukuhkan keupayaannya untuk menangani cabaran keselamatan siber, dan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan yang berkaitan.

Merujuk kepada CYDES 2023, Anwar berharap acara itu akan menjadi platform penting, dengan kapasiti dan pembinaan kapasiti dalam keselamatan siber akan terus dibina dan diperluaskan.

CYDES yang dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), NACSA dan Alpine Integrated Solution Sdn Bhd (Alpine), bermula hari ini sehingga 13 Julai di Pusat Perdagangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC), dengan tema “Membina Ketahanan Siber: Melindungi Masa Depan Digital”.