Putrajaya, 3 Julai (Khamis) - Hari terakhir Pameran dan Persidangan Pertahanan & Keselamatan Siber (CYDES) 2025 diteruskan dengan pelbagai sesi berimpak tinggi dalam Forum Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2025 (Malaysia Cyber Security Strategy Forum 2025) yang menghimpunkan penggubal dasar negara.
Sesi forum meliputi pelbagai aspek dan perbincangan strategik seperti berikut :
• Menjamin Malaysia Digital yang Lebih Selamat - melibatkan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Jabatan Digital Negara (JDN) serta Telekom Malaysia Global.
• Infrastruktur Digital yang Dipercayai - diterajui oleh Menteri Komunikasi, YB Datuk Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil.
• Pembangunan Bakat dan Pemerkasaan Kapasiti Keselamatan Siber – melibatkan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), EC-Council dan Talent Corporation Malaysia Berhad.
• Menangani Jenayah Digital – bersama panel yang terdiri daripada Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), TYT Dr. Mohamed Al Kuwaiti (Emiriah Arab Bersatu), Timbalan Ketua Pengarah Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC) serta pakar undang-undang terkemuka.
PERTEMUAN DUA HALA PERKUKUH DIPLOMASI SIBER
Sebagai platform diplomasi dan dialog dasar, CYDES 2025 melalui Forum Strategi Kerjasama Keselamatan Siber ASEAN 2025 (ASEAN Cybersecurity Cooperation Strategy Forum 2025) telah menganjurkan pertemuan dua hala iaitu Malaysia- Rusia Working Luncheon. Sesi ini memberi ruang kepada perbincangan strategik berkaitan dasar keselamatan siber, pemerkasaan kapasiti, perkongsian maklumat dan pembangunan kerjasama dua hala yang lebih kukuh.
CYDES 2025 MELABUHKAN TIRAINYA
Majlis Penutup CYDES 2025 telah disempurnakan oleh YBhg. Tan Sri Shamsul Azri bin Abu Bakar, Ketua Setiausaha Negara. Majlis ini turut menampilkan tayangan video sorotan acara selama tiga (3) hari dan penyampaian hadiah kepada para pemenang Pertandingan Industrial Control Systems Capture-The-Flag (ICS CTF).
Dalam ucapan penutup beliau, Tan Sri Shamsul Azri menegaskan: “CYDES 2025 membuktikan komitmen Malaysia untuk menjadi sebuah negara digital yang selamat dan dipercayai, melalui gabungan dasar yang kukuh, kerjasama antarabangsa dan pembangunan bakat tempatan. Pelancaran Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2025 -2030 serta penglibatan aktif pelbagai pihak memperkasakan peranan Malaysia dalam menerajui ketahanan siber di rantau ini.”
Pameran CYDES 2025 telah merekodkan kehadiran 304 pempamer dari 27 buah negara yang mempersembahkan pelbagai penyelesaian dan teknologi terkini dalam bidang keselamatan siber, termasuk reruai utama seperti Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Astaka Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), dan Astaka Negara China.
CYDES 2025 merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua rakan strategik, kementerian dan agensi kerajaan, pemain industri, institusi akademik, sukarelawan serta pihak-pihak yang telah bersama menjayakan penganjuran ini. Dukungan dan kolaborasi semua pihak menjadi asas penting dalam memastikan kesinambungan dan kejayaan siri CYDES akan datang.
Untuk sebarang maklumat lanjut, sila layari www.cydes.my atau e-mel kepada [email protected] atau [email protected].