HARI KEDUA CYDES 2025: AGENDA STRATEGIK KESELAMATAN SIBER, KOLABORASI SERANTAU & PAMERAN GLOBAL MENJADI TUMPUAN

 

Putrajaya, 2 Julai – Hari kedua Pameran dan Persidangan Pertahanan & Keselamatan Siber (CYDES) 2025 terus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai peneraju dalam keselamatan siber serantau, menerusi penganjuran Forum Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2025 (Malaysia Cyber Security Strategy Forum 2025) yang diadakan sehari selepas pelancaran rasmi Strategi Keselamatan Siber Malaysia (MCSS) 2025-2030 oleh YAB Timbalan Perdana Menteri.

Forum ini dimulakan dengan ucaptama oleh Ketua Eksekutif, Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), Ir. Dr. Megat Zuhairy bin Megat Tajuddin, bertajuk Advancing Malaysia’s Cyber Resilience: The Vision of MCSS 2025-2030”. Dalam ucapannya, beliau menekankan kepentingan menjadikan MCSS 2025-2030 sebagai satu strategi nasional yang bukan hanya bersifat polisi, tetapi strategi menyeluruh untuk membina negara yang mampu bertahan, mengadaptasi dan berkembang dalam era digital.

“MCSS 2025-2030 mencerminkan anjakan paradigma daripada pendekatan perlindungan reaktif kepada ketahanan proaktif. Strategi ini mengangkat kerjasama tiga (3) pihak berkepentingan utama – kerajaan, perniagaan dan komuniti – sebagai rakan setara dalam mempertahankan ruang siber negara,” ujar beliau.

Beliau turut menggariskan bahawa dengan moto “Together we build, together we stay safe”, MCSS akan dilaksanakan menerusi 16 matlamat strategik dan 7 objektif dalam tempoh enam (6) tahun, serta mengajak semua pihak berkepentingan untuk memainkan peranan aktif dalam menjayakan strategi ini.

 

ASTAKA CHINA SERLAHKAN KOLABORASI SIBER ASEAN

 

Dalam masa yang sama, Astaka China (China Pavilion) turut menarik perhatian menerusi sesi khas bertemakan Empowering ASEAN’s Cyber Resilience: Insights from China’s Autonomous Cybersecurity Journey. Enam (6) pembentang daripada pelbagai agensi dan institusi teknologi China berkongsi pengalaman serta pendekatan negara mereka dalam membina ketahanan siber menekankan kepentingan kerjasama serantau yang inklusif dan saling memperkasa.

Sesi ini memperlihat peluang besar untuk pertukaran teknologi, amalan terbaik dan diplomasi siber antara Malaysia, ASEAN dan kuasa digital utama seperti China.

 

PENYERTAAN ANTARABANGSA: 304 PEMPAMER DARI 27 BUAH NEGARA

 

CYDES 2025 menerima sambutan luar biasa dengan penyertaan 304 pempamer dari 27 buah negara, menjadikannya antara pameran keselamatan siber terbesar di rantau ini. Antara tarikan utama termasuk:

Astaka ASEAN

Astaka China

Reruai NACSA

Ratusan reruai industri yang mempamerkan teknologi terkini dan penyelesaian keselamatan siber – termasuk kecerdasan buatan (AI), cloud security dan perlindungan rantaian bekalan pertahanan infrastruktur maklumat kritikal.

 

ACARA TEKNIKAL: ICS CTF & CYBER PODIUM

 

CYDES 2025 turut menyaksikan penganjuran Pertandingan Industrial Control Systems (ICS) Capture The Flag (CTF) yang ditaja oleh rakan industri. Pertandingan ini menguji kemahiran peserta dalam melindungi sistem kawalan industri dan infrastruktur maklumat kritikal negara.

Sementara itu, sesi Cyber Podium diadakan sepanjang hari dengan pelbagai pembentangan langsung, demonstrasi teknologi dan sesi perkongsian oleh pakar tempatan serta antarabangsa.

 

PERTEMUAN PERINGKAT TINGGI PERKUKUH DIPLOMASI SIBER

 

Sebagai platform diplomasi dan dialog dasar, CYDES 2025 turut menganjurkan beberapa pertemuan tertutup peringkat tinggi, antaranya:

ASEAN–Australia Cyber Dialogue

Mesyuarat Dua Hala Malaysia–Singapura

Sesi ini memberi ruang kepada perbincangan strategik berkaitan dasar keselamatan siber, pemerkasaan kapasiti, perkongsian maklumat dan pembangunan kerjasama serantau yang lebih kukuh.

 

SERUAN PENYERTAAN BERTERUSAN

 

CYDES 2025 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) sehingga 3 Julai ini masih terbuka kepada semua (sektor awam, swasta, akademik, pelajar serta masyarakat umum) yang ingin meneroka inovasi, menyumbang kepada polisi negara atau meneroka peluang kerjaya dalam bidang keselamatan siber. Untuk maklumat lanjut, sila layari www.cydes.my atau e-mel kepada [email protected] atau [email protected].