UNTUK SIARAN SERTA MERTA
Selasa, 1 Julai 2025
1. Pameran dan Persidangan Pertahanan & Keselamatan Siber (CYDES) 2025 dianjurkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Jabatan Perdana Menteri melalui Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA), dengan kerjasama Alpine Integrated Solution Sdn. Bhd. (AIS) sebagai penganjur bersama, telah bermula secara rasmi di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), dari 1 hingga 3 Julai 2025.
2. Perasmian CYDES 2025 telah disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri Malaysia. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menegaskan bahawa penganjuran CYDES 2025 menyerlahkan tekad negara untuk memperkukuh keselamatan siber nasional. Bertemakan “Advancing Cyber Resilience”, acara ini menggariskan keperluan mendesak untuk membina daya tahan terhadap ancaman siber yang semakin kompleks dan mencabar.
3. Sementara itu, Ketua Pengarah MKN, YM Raja Dato’ Nushirwan Zainal Abidin dalam ucapan aluannya menekankan bahawa daya tahan siber bukan lagi satu pilihan, sebaliknya telah menjadi satu keperluan asas dalam menghadapi landskap siber yang semakin dinamik dan berisiko tinggi. Individu, komuniti atau pemain industri yang berminat, dijemput untuk menyertai CYDES 2025 dan menjadi sebahagian daripada usaha membentuk masa depan keselamatan siber. Layari laman sesawang www.cydes.my, atau e-mel kepada [email protected] / [email protected].
Terima kasih.
BAHAGIAN KOMUNIKASI STRATEGIK
MAJLIS KESELAMATAN NEGARA
JABATAN PERDANA MENTERI
────────────────────────────────────────────────────────────────
MAJLIS KESELAMATAN NEGARA, JABATAN PERDANA MENTERI
Bangunan Perdana Putra, Putrajaya